Tuesday 6 May 2014

MASALAH MEMBACA


FAKTOR MENYEBABKAN MASALAH MEMBACA

FAKTOR DALAMAN

Faktor Fizikal
Kecacatan yang ringan terhadap deria tidak akan mendatangkan kesan negatif terhadap kebolehan membaca., tetapi kecacatan yang berat boleh menyebabkan tidak berkeupayaan membaca. Antara kecacatan fizikal yang amat mempengaruhi keupayaan membaca ialah:
1.       Penglihatan
Apakah kesannya terhadap tidak berkeupayaan membaca? Mungkinkah simptom atau tanda yang berikut boleh menyebabkan tidak berkeupayaan membaca?

a) Juling – menggunakan (fokus) kedua-dua biji mata ke arah yang sama. Ini akan mengakibatkan imej bagi satu benda yang sama kelihatan tidak sama saiz dan bentuknya
b) Rabun dekat – (myopia) tidak dapat melihat pada jarak yang jauh.
c)  Rabun jauh – tidak dapat melihat bagi jarak yang dekat.
d) Astigmatism- penglihatan yang kabur diakibatkan kurang fokus cahaya pada salah satu atau kedua-dua hujung retina.
e) Amblyopiks – satu keadaan imej daripada salah satu biji mata tidak sampai ke otak.

      Kesemua simton ini akan menyebabkan masalah kepada seseorang kanak-kanak untuk menggunakan penglihatan pada peringkat awal daldm kemahiran membaca iaitu mencerap imej huruf yang dipaparkan pada permukaan bertulis. Jika pada peringkat awal ini sukar dilakukan, maka kanak-kanak akan menghadapi masalah untuk meneruskan proses membaca pada peringkat seterusnya iaitu peringkat mendekod.

Persepsi Penglihatan – pelajar yang mempunyai persepsi penglihatan yang bercelaru akan menyebabkan kesukaran untuk membaca. Sebahagian daripada simptomnya ialah:


a) Perkataan kelihatan seolah-olah satu percampuran huruf yang tidak bermakna, seperti 
musik menjadi msuki.
b) Huruf atau perkataan menjadi terbalik – seperti contoh b menjadi d, atau perkataan bas menjadi das. Jika jenis percetakan atau saiz huruf bertukar, pelajar tidak dapat mengenal pasti huruf yang sebenar.
c) Satu perkataan kelihatan seperti imej cermin.
d) Pelajar yang tidak dapat membezakan suku kata.

Kesemua masalah penglihatan ini perlu diketahui perbezaannya agar kanak-kanak yang bermasalah dapat diberikan rawatan yang betul. Kebanyakan masalah tidak berkeupayaan membaca dapat diselesaikan dengan memperbetulkan aspek penglihatan kerana inilah kebanyakan punca tidak berkeupayaan membaca bermula.

      2.        Pendengaran (Auditori)
Pelajar yang mempunyai masalah pendengaran yang teruk akan menghadapi masalah untuk belajar membaca. Pelajar yang mempunyai masalah pendengaran yang ringan boleh dibantu dengan teknik yang dapat meningkatkan perbendaharaan kata. Mereka yang mempunyai masalah pendengaran juga akan menghadapi masalah untuk membezakan bunyi vokal dan konsonan. Contohnya kanak-kanak ini tidak dapat membezakan antara vokal a dengan vokal e, u dengan o, i dengan e. Kerencatan pendengaran juga terdapat dalam dua kategori, iaitu kerencatan sementara dan kerencatan kekal. Kerncatan sementara boleh dirawat dengan mendapatkan rawatan dokotr perubatan biasa seperti pembersihan lubang telinga atau mengambil antibiotik, tetapi kerencatan yang kekal perlu kepada rawatan pakar, sama ada rawatan jangka panjang atau memerlukan pembedahan. Guru pemulihan tidak dapat melakukan kedua-dua jenis rawatan ini. Hanya doktor perubatan dan pakar Telinga, Hidung dan Tekak (Ear, Nose and Throat –ENT) sahaja yang boleh melakukannya.

      3.       Pertuturan
Punca masalah pertuturan (seperti kecelaruan bunyi suara, nada yang tidak menentu, pertuturan spastik, dan sebagainya) ialah masalah emosi, kelewatan pertumbuhan, kurang pendengaran, pertumbuhan kerongkong yang tidak lengkap, sumbing, dan kecederaan otak atau sebahagian daripada otak. Namun demikian tidak semua punca masalah pertuturan ini boleh mengakibatkan masalah tidak berkeupayaan membaca. Jika ada pun kesannya ialah kesan tidak langsung, iaitu kesan psikologikal.

      4.       Faktor Neurologikal
Neurologi ialah kajian yang berkait sistem saraf iaitu sistem saraf manusia termasuklah sistem dalam otak, tulang belakang, urat, ganglia (tisu urat yang pelbagai), dan bahagian organ reseptor. Sebahagian daripada bahagian neurologi ini boleh memberikan kesan terhadap kebolehan membaca. Faktor neurologi berkait dengan masalah kesihatan yang diakibatkan jangkitan kuman atau prakelahiran.

Kerosakan Otak
Kerosakan otak boleh diakibatkan oleh kecederaan, penyakit, atau kesan bahan toksit yang mencemar otak atau bahagian otak. Kecederaan otak juga boleh terjadi sejak dilahirkan (pre-natal neurological disorder). Ini semua akan menyebabkan lesion atau perubahan yang luar biasa terhadap bentuk. Biasanya pengesanan terhadap kecederaan otak ini boleh dilakukan menerusi electroencephalogram (EEC), tetapi tidak semua keputusan ujian EEC bertepatan walaupun disertakan dengan kajian sejarah kelahiran.

Neurologi Tidak Berfungsi
Bahagian otak yang tidak berkembang sepenuhnya atau bahagian otak yang tertutup sebahagiannya sejak dilahirkan. Buta perkataan bagi orang dewasa boleh juga diakibatkan oleh serangan sakit jantung. Hyperlexia – seseorang yang lambat perkembangan bahasa dan akal. Simpton ini juga boleh mneyebabkan masalah tidak berkeupayaan membaca dan pembelajaran yang serius.

Faktor Keturunan
Ada kajian yang mengatakan keturunan kuat mempengaruhi kemampuan untuk belajar. Contoh kanak-kanak kembar, kembar seiras dan kembar seibu (identical and fraternal twin), menunjukkan kemampuan yang berbeza dalam pencapaian. Kembar seiras lebih rapat hubungannya dalam pencapaian daripada kembar seibu. Begitu juga kajian yang mengaitkan pencapaian pelajar membaca dengan latar belakang keluarga membuktikan anak yang berasal daripada keluarga yang tidak tahu membaca lebih lemah dalam pencapaian membaca berbanding anak yang berasal daripada keluarga yang tahu membaca.
Namun demikian pengaruh persekitaran juga amat penting untuk melihat pencapaian kanak-kanak. Oleh itu beberapa perkara yang penting dalam keluarga ialah bagaimana ahli keluarga menyediakan persekitaran membaca yang banyak, minat ibu bapa terhadap kejayaan anak-anak dalam pelajaran, dan model bahasa yang ditunjukkan oleh ibu bapa kepada anak-anak.

Faktor Emosi
Kerapnya bukan emosi yang mempengaruhi kejayaan membaca tetapi kegagalan dalam membaca akan mengganggu emosi seseorang pelajar. Pelajar yang gagal membaca akan mempunyai rasa rendah diri, terasing, tidak bermotivasi, kecewa, malas, gagal, dan sebagainya. Namun demikian ada juga kanak-kanak yang mempunyai masalah emosi yang mengganggu pencapaian mereka dalam pelajaran umumnya dan membaca khasnya. Kes penderaan, kes kanak-kanak terbiar, dan kes perpecahan keluarga boleh mengakibatkan gangguan emosi kepada kanak-kanak. Kanak-kanak yang tertekan juga boleh menyebabkan emosi mereka terganggu.


FAKTOR LUARAN
      
      1.       Faktor Sosio-ekonomi
Status sosio-ekonomi (SES) kerap menjadi salah satu pembolehubah dalam kajian yang berkaitan pencapaian pelajar untuk membaca. Kanak-kanak dari SES rendah selalunya mempunyai pencapaian yang rendah dan kanak-kanak dari SES tinggi selalu mendapat pencapaian yang tinggi juga. Keturunan kaum dan perbezaan budaya juga boleh mempengaruhi pencapaian pelajar dalam membaca.

Walau apapun punca masalah tidak berkeupayaan membaca, satu perkara yang perlu diambil perhatian ialah pengesanan awal dan cadangan kepada pihak sekolah dan ibu bapa. Tindakan awal dapat diambil bagi membantu kanak-kanak ini agar mereka tidak terus tercicir dalam sistem pendidikan kita yang berasaskan umur akal, kerana jika kanak-kanak ini tidak dibantu dari awal kemungkinan untuk mereka berjaya pada tahap yang lebih tinggi adalah tipis bagi kebanyakan kes. Guru literasi Bahasa Melayu yang biasa tidak akan dapat membantu kerana mereka tidak dilatih untuk memperbetulkan banyak keadaan yang dibincangkan di atas. Hanya pakar perubatan, pakar psikologi, dan pakar kanak-kanak sahaja yang dapat memberikan rawatan yang sewajarnya bagi memperbetulkan kebanyakan masalah di atas. Tambahan teknik mengajar yang salah akan menyebabkan keadaan menjadi bertambah buruk dan tidak membantu langsung situasi yang dibincangkan.

      2.       Faktor Instruksional
Kaedah, teknik dan strategi pengajaran guru amat penting bagi menetukan kejayaan pelajar mencapai objektif pembelajaran. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran membaca, kaedah dan teknik yang digunakan guru perlulah sesuai dengan tahap perkembangan dan keupayaan pelajar. Berdasarkan banyak kajian yang dilakukan, kaedah, teknik dan strategi pengajaran amat mempengaruhi kejayaan dan keberkesanan pelajar menguasai sesuatu kemahiran. Faktor instrusional guru juga merupakan faktor luaran yang boleh mempengaruhi kejayaan pelajar menguasai kemahiran membaca pada pelbagai tahap yang berbeza.

      3.       Faktor Motivasi
Motivasi dari pihak luar juga amat mempengaruhi keupayaan membaca. Kanak-kanak yang kerap digalakkan membaca dan diberi peluang untuk membaca akan lebih pantas menguasai kemahiran membaca daripada kanak-kanak yang tidak ada galakan dan tidak diberikan persekitaran membaca yang kaya. Galakan dan dorongan membaca yang datang dari pihak luar, seperti dari pihak sekolah dengan mengadakan pelabagi program membaca amat berkesan dalam memberikan semangat yang positif dalam kalangan pelajar bagi menguasai kemahiran membaca. Program membaca perlu dilaksanakan bagi kanak-kanak yang berbeza keupayaannya.


      4.       Faktor Genetik
Perbezaan perkembangan otak seseorang manusia yang berkaitan dengan pembelajaran pemikiran kadang kala sangat dipengaruhi oleh faktor genetik. Penanda genetik untuk pembaca yang lemah telah dikenalpasti pada kromosom 6 dan 15 (Kibby & Hynd, 2001). Kanak-kanak bermasalah pembelajaran boleh berpunca daripada keturunan dan kerap berlaku dalam sesuatu keluarga. Kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran begini dapat dilihat dalam keluarga yang mempunyai pola yang sama seperti masalah pembelajaran yang dipunyai oleh ibu bapa waktu mereka bersekolah.





No comments: